Twitter

Isnin, 16 Ogos 2010

JADI RABBANIY BUKAN RAMADHANIY


Jelas bulan Ramadhan ini adalah bulan yang paling mulia.Bicara ringkas tentang kehebatannya telah kita lakarkan di episod yang lalu.Namun apa yang menjadi tabiat sebahagian besar umat ini adalah hanya menjadikan Ramadhan ini sahaja bulan penyemai amal kebajikan.
Suka ingin dingingatkan diri yang kerdil ini terlebih dahulu sebelum berbicara buat umum bahawa Ramadhan itu akan akan pergi dan mati, begitu ungkapan yang diucapkan oleh ulamak.Namun yang kekal abadi adalah tuan kepada bulan ini iaitu Allah azza wa jalla.Maka madrasah Ramadhan ini hadir tidak lebih sebagai membentuk dan melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa supaya mampu menempuh kehidupan di bulan-bulan yang mendatang kelak.
Dengan sebab itulah kita disarankan menjadi hamba Allah yang rabbaniy(yang mempunyai hubungan kuat dengan Tuhan) bukan ramadhaniy(yang hanya kuat beribadah pada Ramadhan).
Alangkah indahnya jika setiap apa yang diamalkan pada Ramadhan ini mampu terus dilaksanakan pada hari-hari yang mendatang kelak.Al-Quran bisa terkhatam setiap bulan, solat malam menjadi amalan rutin, sedekah berpanjangan dan lidah sentiasa lembab dengan zikrullah.Andai semua ini mampu tersemadi dalam jiwa, sudah tentu itu jadi bukti Ramadhan kita benar sampai pada matlamatnya.
Satu perkara yang barang kali membawa hilangnya nilai Ramadhan sebenar apabila sambutan Idil Fitri yang melampaui batas syariat.Secara jujur dinyatakan di sini, kerap kali sambutan satu Syawal pasti sekali berlakunya sesuatu yang dimurkai Tuhan.Umat Islam yang beramal pada sebulan Ramadhan hanyut dan lupa.Sebab itu ditekankan supaya menjadikan Ramadhan bulan pengabdian bukan semata-mata beramal mengikut adat.
Secara logiknya pun, sukar berlaku pada seseorang yang benar-benar beriman dan bertaqwa pada hari ini lantaran esoknya terus melakukan perkara yang dimurkai secara nyata melainkan dia itu hanya bertaqwa pada luaran tanpa meletakkan taqwa itu benar-benar pada hati.
Seperkara yang harus diingat oleh semua mukmin bahawa hari raya itu adalah suatu hari yang nilaiannya adalah berkaitan agama bukan adat kehidupan semata-mata kerana yang mensyariatkan Idil Fitri itu adalah Allah s.w.t.Maka setiap yang berlaku pada hari itu walaupun sesuatu yang harus atau menyeronokkan dari sudut syarak ia juga ada nilai ibadah di sisi Tuhan.
Bukanlah perbicaraan di sini bertujuan untuk menyempitkan sambutan hari raya bahkan hakikatnya sememangnya hari raya ini bertujuan untuk memberi kesoronakan kepada umat.Hari raya ini menjadi bukti kemenangan kepada mukmin yang sebenar.Ziarah-menziarahi, berhibur, menonton sesuatu yang baik dan pelbagai aktiviti lain adalah dianjurkan oleh Islam tetapi segalanya ada batasan.
Wallahu a’lam

Jumaat, 6 Ogos 2010

RAMADHAN DATANG LAGI


Madrasah Ramadhan yang digelarkan oleh para ulama bagi bulan yang teramat mulia ini.Pada bulan ini Allah Subhanahu wataala datang kepada kita, setiap detiknya dipenuhi dengan rahmat dan dihapuskan segala dosa bagi mereka yang benar-benar sampai kepada maqasid(matlamat) sebenar bulan ini.Sudah tentu janji Tuhan untuk memaqbulkan segala permintaan hambaNya yang senantiasa meminta turut dihidangkan pada musim ini.
Muslim yang benar-benar mukmin pasti berlumba-lumba merealisasikan segala macam kebaikan yang termampu dilaksanakan seperti apa yang diajarkan oleh baginda Sallahu’alaihiwasallam.Maka diberi ruang seluasnya untuk merebut kesempatan ini pada bulan ini dan sudah tentu di sana perlu ada pertimbangan akal yang tepat bagi mendahulukan amalan yang wajib dan afdhal dari yang baik semata-mata.
Dalam fatrah(tempoh) ini juga para malaikat berbangga dengan mereka yang sampai darjat itu.Dipenuhi saban harinya dengan amal ibadah tanpa batasan.
Seperti yang disebutkan, maka bagi mencari darjat yang tertinggi tadi mestilah dicontohi amalan  yang menepati oleh Al-Quran dan Sunnah.Tauladan salafussoleh mesti dijadikan panduan.
Para ulamak ada menyebut bahawa bulan yang mulia ini ibarat musim bunga bagi kaum mukmin kerana pada musim inilah bunga mula subur mekar.Samalah seperti mereka yang dapat menghayati keindahan bulan ini maka sewajarnya dia mengembalikan kesegaran kehidupannya yang sekian lama layu itu.
KEISTIMEWAAN TERSIRAT
Segala ilmu dapat didapati dengan panduan dari pelbagai sumber yang dilimpahkan pada bulan yang penuh keberkatan ini.Jelas ini adalah salah satu keistimewaan yang tersembunyi berbanding bulan-bulan lain.Umpanya media elektronik kurang menyiarkan hiburan pada bulan ini dan digantikan dengan rancangan atau program yang membawa kepada suburnya iman.Maka sewajarnya di sinilah ruang untuk semua mukmin mengembalikan kecemerlangan kehidupan terutama dalam proses pemantapan iman dan taqwa.
Menerusi pengurangan hiburan itu tadi juga mampu menyekat segala pancaindera kita dari kurang dan tidak terjebak kepada kemaksiatan kerana semuanya sedia maklum bahawa media-media adalah salah satu penyebab utama kepada terhakisnya iman kita sehingga hilang panduan hidup sebagai seorang yang benar-benar bertaqwa.Maka kesempatan bulan ini bakal kita jadikan madrasah untuk mendidik rohani kita supaya mencintai Sang Pencipta.
MUKMIN DAN AMAL SOLEH
Pelbagai amal soleh yang mampu dilaksanakan namun ia tidak memadai dengan itu tanpa kejituan iman yang kukuh dalam jiwa setiap individu muslim.Sebab itu berapa banyak ayat Al-Quran yang berbicara tentang orang beriman pasti ada selepasnya iringan amal soleh.Ini memberi petunjuk bahawa amal soleh dan iman itu saling lengkap-melengkapi dan tidak harus dipisahkan antara satu sama lain.Mana mungkin iman terhasil tanpa amal soleh dan begitulah sebaliknya.
Berapa banyak hadis yang sohih berbicara tentang kelebihan bulan ini dan barang kali ramai juga yang menghafalnya umpama hadis nabi yang berbunyi((من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه.Jelas hadis ini menyatakan bahawa bulan ini sebagai kesempatan untuk menyucikan diri kita dari segala dosa yang lalu.Sebab itu para salafussoleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini dan melaungkan marhaban ya mutohhir(selamat datang wahai yang menyucikan).Mereka benar-benar menggunakan seluruh kesempatan waktu pada bulan ini untuk amal kebajikan dan memohon pengampunan dari Allah.Bagaimanalah kita pada Ramadhan kali ini?
ELAKKKAN PERGESERAN
Dalam bulan yang penuh barakah ini jangan pula berlaku di sana perselisihan yang tidak wajar.Ini adakalanya terjadi dalam kalangan ummah baik masyarakat awam atau para pendakwah.Jangan pula berbicara soal furu’ agama sehingga menimbulkan kecelaruan pada yang lain seperti mempertikaikan bilangan rakaat solat sunat terawikh dan sebagainya.Berilah ruang kepada semua untuk melaksanakan ibadah ini mengikut keselesaan masing-masing.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah ada menyebut tentang isu bilangan rakaat ini dengan menyatakan jika surah dalam setiap rakaat itu dibaca dengan panjang  selayaknyalah dengan lapan rakaat dan jikalau surah-surah yang dibaca pada setiap rakaat itu ringkas maka tidak mengapa didirikan sehingga dua pulah rakaat.Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka mendirikan ibadah ini sehingga mencecah tiga puluh enam rakaat.
Lihatlah bagaimana mereka berinteraksi dengan masalah khilafiyah yang berlaku dalam agama in,i masing-masing saling meraikan antara satu sama lain.Mudah-mudahan dengan i’tibar dari perjalanan para ulamak ini mampu mengheret kita kepada sikap toleransi walaupun bukan pada bulan ini sahaja.
InsyaAllah pada penghulu segala bulan ini sama-sama kita tingkatkan amal soleh sekaligus melahirkan kita pada bulan seterusnya sebagai fitrah kejadian manusia yang suci dari segala dosa dan noda.Sama-sama kita pohonkan madrasah ini menjadi institusi pembentukan mukmin yang sejati sebagai persiapan untuk bertemu dengan Tuhan Maha Pencipta di akhirat kelak bersama dengan pengaharapan Syurga yang abadi.
Wallahua’lam

TASAUWUF YANG KITA SERU

Setiap mukmin sentiasa mencari-cari sesuatu dalam kehidupannya sebagai jalan membawanya kepada mengenal Tuhannya.Maka kita dapati ramai yang melalui jalan sufiy.
Sufiy adalah istilah bagi seseorang yang berpegang dengan aliran tasauwuf.Tasauwuf bererti penyucian jiwa dan pembangunan rohani.Para ahli sufiy memecahkan tasauwuf ini kepada dua bahagian iaitu dengan tahliyah(meletakkan sesuatu yang indah pada hati) dan takhliyah(menghapuskan sesuatu yang keji pada hati).

Tasauwuf juga suatu praktikal adab dan akhlak antara seorang hamba pada tuhannya dan seorang pada saudaranya.Ulamak mengarang buku dalam pembentukan akhlak in yang dipanggil sebagai ilmu suluk kitab Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali yang meninggal pada 505 hijrah.

Jika diamati dengan baik begitu banyak musytaq(pecahan) kalimah tazkiyah ini dalam Al-Quran.Manakala dalam kalam Baginda Rasulillah pula disebut sebagai ihsan seperi hadis sohih kisah Saiyidina Jibril yang sering kita dengar “hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah seperti engkau melihatNya, dan jika engkau tidak melihatnya ketahuilah Dia melihat engkau”.

Dapat difahami di sini menunjukkan bahawa tasauwuf ini adalah keterikatannya dengan hati bukan dengan anggota zahir yang lain semata-mata.Sebab itu ada golongan yang cuba mengankat dirinya kepada kebaikan dengan membesar-besarkan dirinya dengan kemuliaan.Ini disebut oleh ulamak sebagai kebenaran yang buruk kerana memang terdapat di sana tazkiyah yang berbentuk terpuji dan terkeji.Begitu halus persoalan mengenai ibadah hati ini.

Bagi yang benar-benar ingin mendidik jiwanya, proses penyucian hati ini perlu diprogramkan, ditarbiyah atau dididik, dan diajarkan serta diamalkan.Setiap langkahnya di muka bumi Allah ini harus dilihat dengan kaca mata hati dengan menghitung kekuasaan Tuhan Pemilik alam bukan sekadar melihat dengan mata kasar dan inilah sebesar-besar zikrullah.

PERINGKAT MUKMIN

Sebelum melengkapkan diri dengan ibadah hati ini, harus diingat terlebih dahulu peringkat seseorang mukmin itu.Dia mesti mengukuhkan akidahnya terlebih dahulu.Tidaklah bermaksud perlu mengkaji mendalam tentang ilmu tauhid atau ilmu kalam tetapi memadai hatinya terikat kuat dengan kalimah Lailaha illaAllah Muhammad Rasulullulah.Kemudian disusuli dengan pengamalan syariat yang tepat mengikut Al-Quran dan Sunnah kerana ada sesetengah individu tidak melengkapi hidupnya dengan syariat lantas menjadikan tasauwuf semata-mata sebagai jalan menuju Allah.Keadah atau metod ini amat bercanggah dengan anjuran Quran dan Sunnah.

Mana mungkin seorang yang tidak melaksanakan solat lima waktu atau apa sahaja rukun Islam dan suruhan Allah yang lain kemudiaannya menyatakan hatinya cintakan Allah, zikirnya saban waktu dan mencecah ribuan kali.Jelas dan nyata golongan ini sangat sesat dari ajaran Islam yang sebenar.

Setelah sempurna pengamalan kehidupan seluruhnya mengikut syariat Islam yang tepat barulah wajib bagi dia untuk meletakkan nilai tasauwuf itu tadi dalam hatinya.Pun begitu ada pula golongan yang cuba memisahkan bicara hati ini dengan amalan anggota zahir.Tidak sama sekali mungkin dipisahkan kerana tanpa nilaian hati diiringkan bersama amalan anggota zahir sudah tentu sesuatu amalan itu tidak diterima kerana Nabi Sallahuaalaihi waahlihi wasallam jelas berpesan bahawa setiap amalan itu pasti dengan niat.Maka niat tidak lain tempatnya melainkan hati.Niat atau hati mestilah ikhlas.Inilah hakikat tasauwuf.Jadi sesiapa yang empunya ciri-ciri ini maka selayaknya dia mendapat gelaran ahli sufiy.

Sebab itu para ulamak sufiy menyatakan bahawa amalan hati sebesar zarah menyamai segunung amalan anggota zahir.Amal yang sebesar dan sehebat manapun jika tiada keikhlasan tidak akan diterima tanpa keikhlasan yang menjadi matlamatnya.

TARIKAT

Dalam konsep ibadah, ada ibadah wajib dan ada ibadah sunat.Ibadah wajib menuju kepada mendekatkan diri dengan Allah adapun ibadah sunat ini disertakan sebagai tanda cinta kepada Allah.Sudah pasti ada perbezaan di sini.

Al-Imam Junaid Rahimahullah telah menggariskan bahawa bukan semua aliran tasauwuf itu benar manhajnya.Dia menetapkan bahawa setiap aliran tarikat tasauwuf yang prinsipnya bercanggah dengan Quran dan Sunnah maka ia tertolak.

Oleh itu harus diingat pada mereka yang berada di aliran ini supaya tidak terlalu taassub pada setiap tarikat yang diikuti.Manusia tidak akan terlepas dari kesilapan.Ini disebut kerana ada di antara mereka yang terlalu mengangung-agungkan tarikat yang diikutinya sehingga sampai tahap memaksumkan kalam atau perkataan yang keluar dari bicara guru atau sheikh murabbi sesuatu tarikat itu.Pada pandangan saya perkara ini amat tidak wajar berlaku dalam kalangan kita yang bergelar mukmin.

Para ulama telah meletakkan satu kaedah yang masyhur “setiap kalam boleh diterima dan ditolak melainkan kalam Saiyiduna Rasulullah”.Prinsip dan kaedah ini harus dipegang oleh seluruh umat supaya mengelakkan dari bencana taassub itu.Jangan jadikan diri kita ibarat mayat sedang dimandikan dengan maksud mematuhi segala macam suruhan dari guru tanpa menyelidik dan mengkaji dengan baik.

Para pengikut tarikat harus mengakui dan insaf terhadap beberapa perkara yang tercetus dalam aliran ini sehingga mengeruhkan hakikat tasauwuf yang sebenar.Mereka harus hati-hati dalam memilih aliran mana yang paling tepat mengikut Quran dan Sunnah.

Terdapat dalam sejarah Islam mengisahkan keterlampauan ahli sufiy dalam mengambil hadis-hadis targhib dan tarhib(hadis mengenai galakan melakukan ibadah dan ancaman siksa Tuhan).Mereka memetik hadis-hadis ini yang sehinggakan ia terlalu dhoif bahkan sampai tahap ada yang mencipta hadis maudhu’.Lihat, ini salah satu anasir yang perlu dititik beratkan oleh semua dalam menjaga nilai kesucian tasauwuf itu.

Dalam perbincangan ini sekali lagi diingatkan bicara tasauwuf ini keterikatannya adalah dengan hati.Maka hati itu harus dijauhkan dari segala maksiat seperti riyak, ujub, takabbur dan segala yang membawa kepadanya.Jika terselamat hati dari segala mazmumah itu maka ia telah sampai kepada matlamat tasauwuf.

AMALAN WIRID

Sebahagian tarikat ada yang menetapkan beberapa wirid sebagai amalan yang mesti diamalkan.Kalau tidak mesti sekalipun ia mungkin sehingga tahap suruhan galakan.

Dalam konteks ini, saya amat bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi apabila ditanya mengenai zikir apakah yang paling afdhal diamalkan setiap hari.Sheikh Yusuf menyatakan bahawa tiada zikir yang terlebih mulia dan agung dari kalamullah itu sendiri dan perkataan Saiyidina Rasulillah.Beliau bertanya apakah di sana ada kalimah yang lebih agung dari kedua-dua sumber ini.

Kesimpulannya, dia menggalakkan kepada seluruh mukmin supaya mengamalkan zikir dan doa yang benar-benar warid atau yang datang dari Al-Quran dan Sunnah.Bagi mereka yang mengamalkan ibadah ini insyaAllah dikurniakan dua ganjaran, yang pertama kerana berzikir dan yang kedua adalah mengikut sunnah Nabi Sallalhualaihi waahlihi wasallam.

KARANGAN ULAMAK DALAM ILMU INI

Imam Al-Ghazali Rahimahullah berbicara panjang mengenai soal tasauwuf ini dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin.Dia meliahat manusia ini terlalu ghairah menzahirkan ibadah zahir tanpa mengambi berat soal hati.Maka kitab ini mempunyai perbahasan yang baik mengenai tasauwuf.

Begitu juga dengan Syaikhul Islam ibnu Taimiyyah Rahimahullah mempunyai ruang khas dalam majmuk fatawanya mengenai tasauwuf.Malangnya ramai dikalangan umat Melayu khususnya tidak membacanya dan sekaligus mengkrikit Shaikhul Islam.Perkara ini harus diambil berat supaya kita tidak menjadi golongan pelampau yang tidak melihat kebaikan kepada beliau walaupun hakikatnya ada perkara yang kurang tepat terhadap ijtihad beliau.

Aliran tasauwuf yang dibawa oleh Ibnu Taimiyyah terus disambung oleh anak muridnya Imam ibnu Qaiyim Al-Jauziyyah.Beliau adalah pemilik kepada kitab tasauwuf yang hebat bernama madarussalikin.

Maka dapat dilihat pendokong madarasah salafi ini seperti Imam ibnu Taimiyyah dan muridnya itu turut membicarakan soal tasauwuf.Dengan itu jelas menunjukkan sufiy adalah satu istilah yang wajar disandarkan kepada sesiapa yang mengamalkan intipati Islam sebenar tidak mengira latar belakang seseorang itu.

Istilah-istilah ini perlu dikaji semula apakah kesesuainnya untuk disebut-sebut lagi pada zaman ini sehingga membawa kepada perpecahan atau ia perlu dibiarkan sementara supaya umat ini bersatu atas dasar Islam bukan atas dasar istilah-istilah atau kelompok-kelompok itu.Atau kita sama-sama gabungkan istilah ini kerana pasti pada kelompok ini ada kebaikan dan kekurangan dan begitu juga dengan kelompok yang lain dengan erti kata lain kita saling betul-membetulkan sesama mukmin bertepatan dengan firman Allah “dan saling tolong-menolonglah kamu kepada kebaikan dan taqwa”.

Kitab masyhur yang lain juga menjadi panduan utama ulamak-ulamak mutaakhir seperti hikam yang dikarang oleh Imam Ibnu Athoillah As-Sakandariy rahimahullah.

SERUAN BERSATU

Dalam arus dunia di akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini marilah sama-sama kita menjauhi perpecahan.Kita satukan umat yang melafazkan kalimah Lailahillallah dan sujud ke arah satu kiblat ini.Kita suburkan rasa cinta kepada bersatu atas nama ummah Islamiyyah.Ketepikan taassub yang membawa kepada perpecahan.Lahirkan nilai tasauwuf yang membawa kepada kasih dan cinta kepada suluruh mukmin tanpa mengira apa mazhab atau pemikirannya.InsyaAllah Islam bakal kembali seperti zaman salafuna soleh.

Wallahua’lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...