Twitter

Isnin, 16 Ogos 2010

JADI RABBANIY BUKAN RAMADHANIY


Jelas bulan Ramadhan ini adalah bulan yang paling mulia.Bicara ringkas tentang kehebatannya telah kita lakarkan di episod yang lalu.Namun apa yang menjadi tabiat sebahagian besar umat ini adalah hanya menjadikan Ramadhan ini sahaja bulan penyemai amal kebajikan.
Suka ingin dingingatkan diri yang kerdil ini terlebih dahulu sebelum berbicara buat umum bahawa Ramadhan itu akan akan pergi dan mati, begitu ungkapan yang diucapkan oleh ulamak.Namun yang kekal abadi adalah tuan kepada bulan ini iaitu Allah azza wa jalla.Maka madrasah Ramadhan ini hadir tidak lebih sebagai membentuk dan melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa supaya mampu menempuh kehidupan di bulan-bulan yang mendatang kelak.
Dengan sebab itulah kita disarankan menjadi hamba Allah yang rabbaniy(yang mempunyai hubungan kuat dengan Tuhan) bukan ramadhaniy(yang hanya kuat beribadah pada Ramadhan).
Alangkah indahnya jika setiap apa yang diamalkan pada Ramadhan ini mampu terus dilaksanakan pada hari-hari yang mendatang kelak.Al-Quran bisa terkhatam setiap bulan, solat malam menjadi amalan rutin, sedekah berpanjangan dan lidah sentiasa lembab dengan zikrullah.Andai semua ini mampu tersemadi dalam jiwa, sudah tentu itu jadi bukti Ramadhan kita benar sampai pada matlamatnya.
Satu perkara yang barang kali membawa hilangnya nilai Ramadhan sebenar apabila sambutan Idil Fitri yang melampaui batas syariat.Secara jujur dinyatakan di sini, kerap kali sambutan satu Syawal pasti sekali berlakunya sesuatu yang dimurkai Tuhan.Umat Islam yang beramal pada sebulan Ramadhan hanyut dan lupa.Sebab itu ditekankan supaya menjadikan Ramadhan bulan pengabdian bukan semata-mata beramal mengikut adat.
Secara logiknya pun, sukar berlaku pada seseorang yang benar-benar beriman dan bertaqwa pada hari ini lantaran esoknya terus melakukan perkara yang dimurkai secara nyata melainkan dia itu hanya bertaqwa pada luaran tanpa meletakkan taqwa itu benar-benar pada hati.
Seperkara yang harus diingat oleh semua mukmin bahawa hari raya itu adalah suatu hari yang nilaiannya adalah berkaitan agama bukan adat kehidupan semata-mata kerana yang mensyariatkan Idil Fitri itu adalah Allah s.w.t.Maka setiap yang berlaku pada hari itu walaupun sesuatu yang harus atau menyeronokkan dari sudut syarak ia juga ada nilai ibadah di sisi Tuhan.
Bukanlah perbicaraan di sini bertujuan untuk menyempitkan sambutan hari raya bahkan hakikatnya sememangnya hari raya ini bertujuan untuk memberi kesoronakan kepada umat.Hari raya ini menjadi bukti kemenangan kepada mukmin yang sebenar.Ziarah-menziarahi, berhibur, menonton sesuatu yang baik dan pelbagai aktiviti lain adalah dianjurkan oleh Islam tetapi segalanya ada batasan.
Wallahu a’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...