Twitter

Isnin, 6 September 2010

IMAN DAN KEHIDUPAN


Aplikasi Iman lahir pada tutur kata dan tingkah laku.Insan yang punya ciri keimanan yang sebenar hidupnya menteladani segala aturan agama.Namun jangan terlupa yang namanya insan imanmya tidak sentiasa teguh.Adakala ianya naik dan terkadang ia turun.Ini dibincangkan oleh ulama ahli sunnah dalam perihal keimanan setiap manusia biasa berbanding dengan iman para Rasul Alaihimussolatuwassalam  yang sentiasa bertambah dan iman para malaikat yang tiada tambah dan kurangnya.
Apabila iman manusia tidak tetap keadaannya maka di situlah kita perlu akui kesilapan yang sering terlanjur terutama pengakuan dan pengaduan di hadapkan ke hadrat Allah s.w.t.Apatah lagi kita yang hidup di dunia yang penuh dengan kefasadan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.
Iman pada hakikatnya tidak akan terbukti tanpa realisasi amal yang benar dan betul.Kerana itu Imam Ahmad bin Hanbal r.a. menyebut tidak kurang dari sembilan puluh ayat Al-Quran membicarakan soal iman diiringi dengan amal soleh dalam versi ayat yang berbeza.
Keimanan yang benar membawa kepada kesatuan umat berbanding sebaliknya dengan mendorong kepada perpecahan umat.Sebab itu kita sama-sama perlu bermuhasabah bagaimana umat ini telah berpecah-belah.Masing-masing mendakwa kebenaran berpihak pada diri sendiri dan menafikan yang lain sedangkan hakikat sebenar hanyalah di sisi Allah.Apalah salahnya disuburkan sikap toleransi dan bertolak ansur sesama mukmin dalam perkara-perkara ijtihad yang tidak bercanggah dengan nas-nas syar’i.Setiap manusia layak mengutarakan pandangan dan pendapat.Dunia hari ini berhajat kepada kesatuan umat.
Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa iman terbahagi kepada tujuh puluh cabang yang didahului dengan ucapan kalimah Laihaillallah dan yang terakhir dengan membuang sesuatu yang menyakitkan dijalanan.Pecahan yang lain merangkumi seluruh struktur kehidupan seseorang hamba.Tidak hairan manusia sering teralpa dalam kehidupannya dan sering melakukan maksiat terhadap Tuhannya kerana tonggak utama kehidupannya tidak diperkukuh.Mana mungkin seorang itu bisa mengecapi keimanan yang betul tanpa dipenuhi isi hati dan akal dengan ilmu mengenal ciri-ciri iman.Lalu tidak ada jalan lain untuk menunjukkan hati ini ke arah keimanan sebenar melainkan dengan menuntut ilmu.
Apabila dada terisi dengan elemen keimanan barulah kehidupan mampu terlaksana sebagai seorang mukmin.Seperti yang dibicarakan di atas, manusia tidak tetap keimanannya.Pasti berlaku kekurangan dan kesilapan dalam menempuh roda kehidupan.Apa yang pasti, mereka yang ada ilmu tatkala melakukan kesilapan lantas memohon ampun dari Tuhannya.Hal ini telah dilakarkan Allah dalam kitabNya mengenai situasi begini.
Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka.(Ali ‘Imran:135)
Bagaimana Mengetahui Keimanan Pada Diri
Ada beberapa ciri yang dapat dikenal pasti bagi membuktikan keimanan tersemadi dalam diri seseorang.Di antara yang paling jelas adalah dia melakukan segala kewajipan yang dipikulkan pada bahunya dan meninggalkan segala larangan dari penciptanya.Sangat simple.Apabila ini semua terlaksana maka jelas ada iman pada dirinya.Namun ianya memerlukan tarbiah dan latihan yang konsisten.
Berbanding dengan sifat orang munafiq.Mereka hanya mendirikan ibadah tidak lebih sebagai menunjuk-nunjuk di mata manusia lain.Keadaan ini juga terlakar dalam Al-Quran.
Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah membalas tipuan mereka.Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka hanya berdiri dengan malas.Mereka bermaksud riya di hadapan manusia.Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sangat sedikit.(An-Nisa’:142)
Nabi s.a.w. pernah bersabda, “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir”(riwayat muslim).Ya, inilah hakikat sebenar kehidupan ini.Tidaklah tercapai tahap keimanan yang sebenar andai hidup ini tidak teruji.Insan yang sangat pedih dan derita ujiannya adalah para anbia.Lihat, bagaimana hidup mereka sentiasa teruji namun sudah pasti disebalik segala keperitan ini ada kemanisan yang menanti.Bayangkan dan bandingkan kehidupan kita dan mereka.Jauh dan sangat jauh.Benar mereka nabi, namun tauladan yang mulia inilah patut dijadikan panduan kehidupan.
Ada pula manusia yang apabila diuji tidak meletakkan keredhaan sebagai jalan keluar kepada derita yang dilalui.Nabi s.aw. pernah menyifatkan antara ciri mukmin adalah bersyukur pada tiap nikmat yang dikurnia dan bersabar pada tiap ujian yang menimpa.Harus diingat bahawa setiap ujian itu adalah kaffarah bagi segala dosa.Apabila kesabaran jadi nilai utama maka keimanan telah terserlah dan kedudukan di sisi Tuhan kian hampir.
Ramai yang tersalah erti mengenai ketenangan.Mereka menafsirkan ketengan dengan kelapangan dan kesenangan hidup.Hakikatnya ia tidak benar.Ketenanagn yang sebenar tidak akan tercapai tanpa keutuhan iman di dalam jiwa.Mereka yang mungkin berasa tenang dengan kesengan dalam masa yang sama meningglkan perintah Allah harus ingat bahawa itu adalah ujian yang lebih besar disebut sebagai Istidraj.Bukanlah salah mendapat kesenangan hidup tetapi tiada erti semua itu tanpa iman dan taqwa pada Tuhan yang Maha Esa.
Ingatlah janji Tuhan bahawa setiap hambaNya yang bertaqwa dijanjikan jalan keluar dari segala kesulitan, dikurniakan rezeki, kekayaan hati dan budi.Pesan untuk diri yang kerdil ini terlebih dahulu untuk sama-sama memakaikan ciri keimanan dalam setiap langkah kehidupan sebagai bekal untuk bertemu Tuhan.
Wallahu a’lam
SALAM IDIL FITRI  BUAT PEMBACA YANG BUDIMAN.MOHON MAAF ATAS SEGALA KETELANJURAN PADA SETIAP LAFAZ KALIMAH DAN TINGKAH.(entri terakhir sebelum idilfitri(1431H)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...