Twitter

Rabu, 8 Disember 2010

MENCARI PERUBAHAN



Rasanya masih belum terlewat untuk saya berbicara tentang Hijrah.Ramai dikalangan para du’at akan berbicara tentang tarikh penting ini.Masing-masing mencari antonasi tertentu untuk disampaikan sama ada dengan membawa isu Sirah Nabawiyyah secara khusus untuk diceritakan atau berbicara tentang Hijrah yang berkaitan dengan fenomena umat hari ini.

 Hijrah adalah satu perpindahan atau meninggalkan satu tempat menuju ke satu tempat yang lain dari sudut bahasa.Bermakna setiap manusia tidak akan lepas dari hijrah kerana semua kita tetap akan berhijrah.Namun apa yang lebih penting dalam konteks Hijrah yang perlu kita bawakan dalam dunia hari ini sudah tenti tidak akan sama seperti Hijrah yang berlaku ketika zaman Baginda Muhammad s.a.w. kerana terang-terang Nabi menyebut dalam sebuah hadis sohih yang bermaksud, “Tidak ada hijrah setelah pembukaan ‘Kota Mekah’ kecuali jihad dan niat”.

Maka dalam bicara hidup kita hari ini Hijrah masih tetap wajib berlaku sama ada dalam soal jihad dan niat seperti mafhum hadis tersebut.Niat adalah asas kepada setiap amal berdasarkan sebuah hadis yang sahih yang sering diulang-ulang oleh ahli agama tatkala menyentuh mengenai niat.Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan adalah disertai dengan niat”.Dengan itu jelas bahawa niat menjadi pokok utama kepada cabang-cabang amalan yang lain.Niat yang kabur selain untuk Allah sudah tentu perhitungannya juga kabur dalam ganjarannya.

Niat yang suci tidak mungkin dicapai dengan begitu mudah.Ia perlu mujahadah yang tinggi untuk memperolehinya.Niat yang suci mustahil berlaku dalam suasana amalan yang tidak diredhai Allah kerana mustahil berlaku amalan yang mungkar kerana Allah s.w.t. Allah telah menyentuh isu ini pada surah Al-Baiyinah ayat yang kelima dengan maksud, “Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan urusan) agama, dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat”. 

Para ulamak ada menyebut, amalan yang tidak diasaskan dengan niat hanya kerana Allah tidak lebih ia seperti debu-debuan yang berterbangan.Tiada siapa yang mampu merungkai apa yang diniatkan oleh seseorang melainkan dirinya sendiri.

Apabila niat menjadi suci, sudah tentu langkah amalan seseorang itu ke arah keredhaan Tuhannya.Segala yang disusun atur dalam gerak kerja adalah untuk kebaikan.Dalam berbicara mengenai Hijrah ini, saya berminat untuk membawa kita semua melangkah ke arah mencari perubahan.Sudah sekian lama kita hidup, apakah kita berpuas hati dengan yang semalam.Apabila kita melihat hijrah itu mesti berlaku maka kita mesti melakukannya.Oleh itu saya melihat hijrah ini sangat sinonim dengan kalimah perubahan.

Kita sepatutnya senantiasa perlu mencari perubahan dalam kehidupan.Dan sudah tentu perubah yang kita laungkan adalah perubahan dari tidak baik kepada baik dan dari baik kepada lebih baik.Kita sering mendengar kalimah yang berbunyi, “kehidupan hari ini mestilah lebih baik dari semalam dan esok mestilah lebih baik dari hari ini”.Maka secara kesimpulan kalimah itu menuntut kepada perubahan.Maka kita sepatutnya tidak perlu beria-ria menunggu satu Muharram untuk melakukan Hijrah.Ianya tidaklah salah jika tidak berkaitan dengan soal dosa dan pahala.Tetapi jika ia berkaitan dengan kemungkaran apakah perlu menunggu tarikh tertentu untuk ditinggalkan?

Umat Islam saban hari ditekan dan ditindas.Apakah soal ini berhajat kepada suatu tarikh tertentu untuk direnung lantas kesedaran itu juga memerlukan waktu untuk diinsafi.Ini yang dimaksudkan untuk sama-sama kita senantiasa menginsafi arus perjalanan kehidupan kita.Tidak hanya berpada dan berpuas hati dengan setiap hari yang kita lakukan sedangkan sangat sedikit kebaikan yang terlaksana berbanding keburukan.Jangan hanya kerana waktu dan harta yang kita perolehi hari dengan mudah bakal semuanya dipersoalkan  ke mana disalur dan diinfaqkan.Dengan nada penuh menyesal di saat itu semuanya umpama ingin dikembalikan.

Hari ini kita juga sangat terdedah dengan pelbagai arus pemikiran seperti secular, liberal dan pelbagai lagi.Secara zahirnya nampak baik.Islam sangat mengalu-alukan kepelbagaian selagi mana ianya tidak bercanggah dengan prinsip agama.Islam mengalunkan kebebasan.Namun yang terlihat hari ini aliran-aliran ini kebanyakan diputar belit mengikut hawa nafsu dan dihiasi dengan warna-warna keIslman yang indah.Akhirnya manusia memilih aliran-aliran itu kerana merasakan ianya suatu kebebasan yang menjadi tuntutan zaman.Fenomena seperti ini berhajat kepada perubahandan Hijrah tanpa menunggu waktu tertentu kerana ia bercanggah dengan prinsip agama. 

Manusia sepatutnya tidak mesti dikongkong akal dan pemikiran mereka.Mereka sepatutnya diberi hak seluasnya selagi mana berada dalam kerangka agama untuk berfikir dan bertanya.Sebab itu iman seseorang yang mengikut membuta tuli tidak sah.Dia perlu tahu apa yang diimaninya begitu juga dalam soal yang lain mengenai urusan agama dan kehidupan.Manusia perlu menghijrahkan dirinya dari dunia ikut-ikutan kepada mencari dan bertanya apa yang didengarinya.Sebab itu Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat enam yang membawa maksud, “Apabila datang kepada kamu berita dari seorang fasiq hendaklah kamu selidik”.

Berbicara soal perubahan ianya sangat luas kerana ia berkaitan dengan seluruh sruktur kehidupan insan.Ia memerlukan ruangan yang begitu luas dan waktu yang panjang.Maka dalam artikel ini saya tidak bercadang untuk mengupas semua pandangan dalam setiap perkara.Namun saya tetap mengharapkan sidang pembaca senantiasa bertanya dan terus bertanya kepada diri dan akal anda demi mencapai kepada matlamat kehidupan yang jelas.Kita menyeru kepada menggerakkan akal kerana akal adalah satu anggota yang sangat mulia yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada makhluk-Nya yang bernama insan tidak selainnya.

Walluhua'lam




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...