Twitter

Isnin, 16 Ogos 2010

JADI RABBANIY BUKAN RAMADHANIY


Jelas bulan Ramadhan ini adalah bulan yang paling mulia.Bicara ringkas tentang kehebatannya telah kita lakarkan di episod yang lalu.Namun apa yang menjadi tabiat sebahagian besar umat ini adalah hanya menjadikan Ramadhan ini sahaja bulan penyemai amal kebajikan.
Suka ingin dingingatkan diri yang kerdil ini terlebih dahulu sebelum berbicara buat umum bahawa Ramadhan itu akan akan pergi dan mati, begitu ungkapan yang diucapkan oleh ulamak.Namun yang kekal abadi adalah tuan kepada bulan ini iaitu Allah azza wa jalla.Maka madrasah Ramadhan ini hadir tidak lebih sebagai membentuk dan melahirkan insan yang benar-benar bertaqwa supaya mampu menempuh kehidupan di bulan-bulan yang mendatang kelak.
Dengan sebab itulah kita disarankan menjadi hamba Allah yang rabbaniy(yang mempunyai hubungan kuat dengan Tuhan) bukan ramadhaniy(yang hanya kuat beribadah pada Ramadhan).
Alangkah indahnya jika setiap apa yang diamalkan pada Ramadhan ini mampu terus dilaksanakan pada hari-hari yang mendatang kelak.Al-Quran bisa terkhatam setiap bulan, solat malam menjadi amalan rutin, sedekah berpanjangan dan lidah sentiasa lembab dengan zikrullah.Andai semua ini mampu tersemadi dalam jiwa, sudah tentu itu jadi bukti Ramadhan kita benar sampai pada matlamatnya.
Satu perkara yang barang kali membawa hilangnya nilai Ramadhan sebenar apabila sambutan Idil Fitri yang melampaui batas syariat.Secara jujur dinyatakan di sini, kerap kali sambutan satu Syawal pasti sekali berlakunya sesuatu yang dimurkai Tuhan.Umat Islam yang beramal pada sebulan Ramadhan hanyut dan lupa.Sebab itu ditekankan supaya menjadikan Ramadhan bulan pengabdian bukan semata-mata beramal mengikut adat.
Secara logiknya pun, sukar berlaku pada seseorang yang benar-benar beriman dan bertaqwa pada hari ini lantaran esoknya terus melakukan perkara yang dimurkai secara nyata melainkan dia itu hanya bertaqwa pada luaran tanpa meletakkan taqwa itu benar-benar pada hati.
Seperkara yang harus diingat oleh semua mukmin bahawa hari raya itu adalah suatu hari yang nilaiannya adalah berkaitan agama bukan adat kehidupan semata-mata kerana yang mensyariatkan Idil Fitri itu adalah Allah s.w.t.Maka setiap yang berlaku pada hari itu walaupun sesuatu yang harus atau menyeronokkan dari sudut syarak ia juga ada nilai ibadah di sisi Tuhan.
Bukanlah perbicaraan di sini bertujuan untuk menyempitkan sambutan hari raya bahkan hakikatnya sememangnya hari raya ini bertujuan untuk memberi kesoronakan kepada umat.Hari raya ini menjadi bukti kemenangan kepada mukmin yang sebenar.Ziarah-menziarahi, berhibur, menonton sesuatu yang baik dan pelbagai aktiviti lain adalah dianjurkan oleh Islam tetapi segalanya ada batasan.
Wallahu a’lam

Jumaat, 6 Ogos 2010

RAMADHAN DATANG LAGI


Madrasah Ramadhan yang digelarkan oleh para ulama bagi bulan yang teramat mulia ini.Pada bulan ini Allah Subhanahu wataala datang kepada kita, setiap detiknya dipenuhi dengan rahmat dan dihapuskan segala dosa bagi mereka yang benar-benar sampai kepada maqasid(matlamat) sebenar bulan ini.Sudah tentu janji Tuhan untuk memaqbulkan segala permintaan hambaNya yang senantiasa meminta turut dihidangkan pada musim ini.
Muslim yang benar-benar mukmin pasti berlumba-lumba merealisasikan segala macam kebaikan yang termampu dilaksanakan seperti apa yang diajarkan oleh baginda Sallahu’alaihiwasallam.Maka diberi ruang seluasnya untuk merebut kesempatan ini pada bulan ini dan sudah tentu di sana perlu ada pertimbangan akal yang tepat bagi mendahulukan amalan yang wajib dan afdhal dari yang baik semata-mata.
Dalam fatrah(tempoh) ini juga para malaikat berbangga dengan mereka yang sampai darjat itu.Dipenuhi saban harinya dengan amal ibadah tanpa batasan.
Seperti yang disebutkan, maka bagi mencari darjat yang tertinggi tadi mestilah dicontohi amalan  yang menepati oleh Al-Quran dan Sunnah.Tauladan salafussoleh mesti dijadikan panduan.
Para ulamak ada menyebut bahawa bulan yang mulia ini ibarat musim bunga bagi kaum mukmin kerana pada musim inilah bunga mula subur mekar.Samalah seperti mereka yang dapat menghayati keindahan bulan ini maka sewajarnya dia mengembalikan kesegaran kehidupannya yang sekian lama layu itu.
KEISTIMEWAAN TERSIRAT
Segala ilmu dapat didapati dengan panduan dari pelbagai sumber yang dilimpahkan pada bulan yang penuh keberkatan ini.Jelas ini adalah salah satu keistimewaan yang tersembunyi berbanding bulan-bulan lain.Umpanya media elektronik kurang menyiarkan hiburan pada bulan ini dan digantikan dengan rancangan atau program yang membawa kepada suburnya iman.Maka sewajarnya di sinilah ruang untuk semua mukmin mengembalikan kecemerlangan kehidupan terutama dalam proses pemantapan iman dan taqwa.
Menerusi pengurangan hiburan itu tadi juga mampu menyekat segala pancaindera kita dari kurang dan tidak terjebak kepada kemaksiatan kerana semuanya sedia maklum bahawa media-media adalah salah satu penyebab utama kepada terhakisnya iman kita sehingga hilang panduan hidup sebagai seorang yang benar-benar bertaqwa.Maka kesempatan bulan ini bakal kita jadikan madrasah untuk mendidik rohani kita supaya mencintai Sang Pencipta.
MUKMIN DAN AMAL SOLEH
Pelbagai amal soleh yang mampu dilaksanakan namun ia tidak memadai dengan itu tanpa kejituan iman yang kukuh dalam jiwa setiap individu muslim.Sebab itu berapa banyak ayat Al-Quran yang berbicara tentang orang beriman pasti ada selepasnya iringan amal soleh.Ini memberi petunjuk bahawa amal soleh dan iman itu saling lengkap-melengkapi dan tidak harus dipisahkan antara satu sama lain.Mana mungkin iman terhasil tanpa amal soleh dan begitulah sebaliknya.
Berapa banyak hadis yang sohih berbicara tentang kelebihan bulan ini dan barang kali ramai juga yang menghafalnya umpama hadis nabi yang berbunyi((من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه.Jelas hadis ini menyatakan bahawa bulan ini sebagai kesempatan untuk menyucikan diri kita dari segala dosa yang lalu.Sebab itu para salafussoleh bergembira dengan kedatangan Ramadhan ini dan melaungkan marhaban ya mutohhir(selamat datang wahai yang menyucikan).Mereka benar-benar menggunakan seluruh kesempatan waktu pada bulan ini untuk amal kebajikan dan memohon pengampunan dari Allah.Bagaimanalah kita pada Ramadhan kali ini?
ELAKKKAN PERGESERAN
Dalam bulan yang penuh barakah ini jangan pula berlaku di sana perselisihan yang tidak wajar.Ini adakalanya terjadi dalam kalangan ummah baik masyarakat awam atau para pendakwah.Jangan pula berbicara soal furu’ agama sehingga menimbulkan kecelaruan pada yang lain seperti mempertikaikan bilangan rakaat solat sunat terawikh dan sebagainya.Berilah ruang kepada semua untuk melaksanakan ibadah ini mengikut keselesaan masing-masing.
Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah ada menyebut tentang isu bilangan rakaat ini dengan menyatakan jika surah dalam setiap rakaat itu dibaca dengan panjang  selayaknyalah dengan lapan rakaat dan jikalau surah-surah yang dibaca pada setiap rakaat itu ringkas maka tidak mengapa didirikan sehingga dua pulah rakaat.Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, mereka mendirikan ibadah ini sehingga mencecah tiga puluh enam rakaat.
Lihatlah bagaimana mereka berinteraksi dengan masalah khilafiyah yang berlaku dalam agama in,i masing-masing saling meraikan antara satu sama lain.Mudah-mudahan dengan i’tibar dari perjalanan para ulamak ini mampu mengheret kita kepada sikap toleransi walaupun bukan pada bulan ini sahaja.
InsyaAllah pada penghulu segala bulan ini sama-sama kita tingkatkan amal soleh sekaligus melahirkan kita pada bulan seterusnya sebagai fitrah kejadian manusia yang suci dari segala dosa dan noda.Sama-sama kita pohonkan madrasah ini menjadi institusi pembentukan mukmin yang sejati sebagai persiapan untuk bertemu dengan Tuhan Maha Pencipta di akhirat kelak bersama dengan pengaharapan Syurga yang abadi.
Wallahua’lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...