Twitter

Rabu, 22 September 2010

TIANG KEHIDUPAN


Setiap suatu binaan pasti ada tiangnya.Begitu juga dengan kehidupan.Setiap seorang diwajibkan untuk menegakkan tiang pada binaan kehidupannya.Sekiranya tiang ini tidak tertegak atau rebah maka akan porak-perandalah dan runtuhlah hidupnya.
Bicara ini hanya terbatas pada mereka yang bergelar muslim.Muslim yang benar-benar beriman dan berpegang teguh pada agamanya.Tiang yang dimaksudkan adalah ibadah solat.Fitnah yang melanda umat akhir zaman yang kian hari meningkatnya kadar mereka yang tidak mendirikan solat.
Solat sepertimana yang disabdakan Baginda s.a.w. adalah perkara yang pertama sekali akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak sebelum perkara-perkara lain.Ibadah ini adalah lambang atau syiar kepada agama Islam yang dianuti oleh seseorang yang mampu membezakan antara muslim dan bukan muslim.Sabda Nabi, “Beza antara seorang muslim dan selainnya apabila dia meninggalkan solat”.(riwayat muslim)
Berkata Abdullah bin Shaqiq Al-‘Aqiliy’, “Para sahabat r.a tidak menganggap perkara lain yang ditinggalkan oleh orang kafir melainkan solat”.
Ibadah ini sebagai jalan bagi seorang mukmin untuk menuju kepada kejayaan seperti mana firman Allah yang mermaksud:
Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.Yaitu orang-orang yang khusyu’ dalam solatnya…(mukminun:1-2)
Dan pada bicara Tuhan seterusnya pada surah yang sama:
…Dan orang-orang yang memelihara solatnya.(Mukminun:9)
Sekiranya ibadah ini ditinggalkan dan tidak dilaksanakan.Allah s.w.t. telah pun memberitahu kesannya:
Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang jelik yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.(maryam:59)
Begitulah akibat dari sikap tidak mendirikan ibadah tonggak ini, bahkan yang lebih menyedihkan jika hadir dalam diri seseorang cetusan kutukan dan penghinaan terhadap ibadah ini.Jika berlaku hal sedemikian nyata bagai sifat kaum kuffar yang dikhabarkan melalui firman Allah:
Dan apabila kamu menyeru kepada mereka untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikannya buah ejekan dan permainan.Yang demikian itu adalah kerana mereka benar-benar kaum yang tidak mahu menggunakan akal.(al-Maidah:58)
Sebuah masyarakat Islam sepatutnya senantiasa menghadirkan keterikatan hubungan dengan Tuhannya.Oleh itu, solatlah yang menjadi wasilah atau jalan bagi menghubungkan seorang muslim dengan Rabnya pada setiap masa.Manusia pada akhir zaman ini ditenggelami hidupnya dengan panorama kehidupan yang pelbagai.Mereka sibuk ke sana dan ke sini memenuhi rutin harian.Namun fardhu ibadah ini menjadikan dia tidak lupa pada Tuhannya.Tatkala azan berkumandang setiap hari selama lima kali menjadi seruan kepadanya untuk mengingati Tuhan yang menciptakan segala urusan.Solat juga berperanan menyucikan diri seseorang dari dosa-dosa dan menyucikan hati dari bintik-bintik hitam yang menghijab kasih cinta pada Allah. Malang bagi mereka yang benar-benar tidak menjalin hubungan dengan Tuhannya kerana tidak mendirikan ibadah ini.
Ketika mendirikan ibadah ini, wajar dititik beratkan kepentingan berjemaah dalam melaksanakannya.Pada zaman Baginda Nabi s.a.w. mereka yang tidak mendirikan ibadah ini secara berjemaah dibakar kediaman mereka.Sehingga begitu penekanan kepada pentingnya berjemaah walau dalam keadaan perang sekalipun.
Disyariatkan solat Khauf ketika peperangan berlaku.Solat ketika ini dituntut melakukannya secara berjemaah.
Solat yang benar-benar sempurna mampu memelihara seseorang dari sebarang maksiat:
Sesungguhnya solat itu mampu mencegah kamu dari melakukan perkara keji dan mungkar.
Solat yang khusuk juga menjadikan hati senantiasa tenang dan menundukkan diri yang  hina dihadapan Tuhan yang Maha Agung.Tatkala solat dilakukan secara bejemaah ibadah ini mampu mengikat hati-hati kaum mukmin.Dengan terdirinya saf-saf yang lurus dan rapat serta semuanya menghadapkan seluruh anggota badan ke arah kiblat yang satu.Kerana itu Islam mewajibkan solat Jumaat dilakukan secara berjemaah bagi mengikat hati-hati kaum mukmin.Orang-orang mukmin yang kukuh taqwanya pada agamanya menjadikan solat berjemaah platform mengikat ukhwah sesama saudaranya.
Oleh itu masjid menjadi sepatutnya memainkan peranan utama dapam menggabungkan hati-hati para mukmin sekaligus mengukuhkan Islam sendiri.Malangnya pada akhir zaman ini masjid hanya dijadikan kawasan lawatan untuk pelancong kerana keindahan dan kecantikan lantaran lari dari matlamat asal tujuan pembinaannya.Ia hanya dibesarkan dan diperindahkan untuk disanjung di mata dunia tetapi ruangnya tidak pernah dipenuhkan melainkan pada jumaat sahaja.
Pada pandangan saya, institusi rumah Allah ini perlu diutamakan dan dijadikan medan pembinaan modal insan seperti yang diwarwarkan supaya ibadah solat terutamanya kembali didirkan oleh semua muslimin dan muslimat.Hidupkan masjid –masjid dengan pelbagai iaktiviti supaya manusia tidak melihat masjid hanya sekadar ruang mendirikan solat.Apabila terpenuh aktiviti masjid seumpama sukan, hari keluarga, dan aktiviti kemasyarakatan yang lain tanpa disedari tatkala tibanya waktu solat semua yang hadir akan mendirikan solat bersama.Ini sebagai salah satu cara memberitahu umat kepada mengutamakan solat pada setiap gerak kerja.
Tidak ada seorang pun dalam kalangan ulamak yang menyatakan solat adalah ibadah yang diberikan pilihan untuk mendirikannya atau tidak.Bahkan secara ijmak para ulamak jika ditinggalkan ibadah ini wajib dikenakan hukuman pada setiap mereka sebagai peringatan dan mendidik.
Mana mungkin mereka yang menyandarkan gelaran muslim pada dirinya tidak bias menundukkan dirinya dihadapan penciptanya.Ini pelik.Tidak akan sama antara mereka yang mendirikan solat dan meniggalkannya.
Bukan seorang muslim jika pada kediaman dan tempat kerjanya tiada rungan untuk mendirikan ibadah solat.
Begitu besar peranan dan tanggungjawab kepada ibadah yang agung ini.
Allah itu perlu diingati dan Dia akan mengingati.
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...