Twitter

Ahad, 24 Oktober 2010

CATATAN BARU BUAT MESIR

Alhamdulillah, genap seminggu sudah mengembalikan diri ini ke bumi kinanah, Mesir.Terubat rasa rindu pada suasana kehidupan di sini.Hampir setiap hari memenuhkan masa dengan rakan-rakan berkongsi cerita-cerita selama meninggal bumi anbiyak.Macam-macam kisah terutama fenomena yang berkaitan hel ehwal pelajar.


Pelajar yang menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini sudah pasti tergolong dari mereka yang terpilih, punya kredibiliti yang tinggi dan jiwa mahasiswa yang besar.Mereka terpilih kerana kelayakan yang telah diuji.Pada hemat saya semuanya datang untuk menambah baik mutu dan kualiti keilmuan dan kefahaman pada bidang masing-masing.

Ketika di Malaysia, saya sempat ke lapangan terbang melihat suasana perpisahan rakan-rakan Negeri Sembilan yang ingin bermusafir ke timur tengah.Melihat raut wajah ibu ayah dengan penuh harapan dan kepercayaan dipautkan pada bahu petura dan puteri masing-masing sebelum mereka melangkah meninggalkan bumi Malaysia.Suasana yang sayup tatkala ada yang menitiskan air mata perpisahan bersama ibu ayah.Namun disebalik kesedihan itu pasti ada kegembiraan.Manakan tidak, mereka ibarat pembesar dan wakil negara yang bakal hadir ke sebuah seminar rasmi dengan semuanya serba mengenakan sut hitam.Diseragamkan semua pakaian mereka.Maklumlah ketika saya bermusafir kali pertama dahulu tidak merasai seperti mereka kerana tidak mengikuti program tajaan kerajaan negeri.Saya bermusafir bersama beberapa orang rakan sahaja.

Genap tiga tahun sudah saya bergelar mahasiswa Al-Azhar.Saya menyedari dengan penuh insaf bahawa apa yang saya miliki saat ini sangat tidak memadai dengan tiga tahun itu terutama dari sudut keilmuan.Masa yang telah berlalu tidak lebih sekadar menjadi penyesalan dan kenangan itupun jika tersedar kerana terlalu banyak masa yang tidak digunakan sebaiknya.Pengurusan waktu yang sangat khalal menyebabkan kehidupan seharian tidak terguna sebaiknya.

Namun dalam masa yang sama saya secara peribadi ingin juga menilai tingkah dan perilaku mahasiswa yang lain di sini.Saya aplikasikan penilaian ini tidak lebih untuk menjadikan panduan hidup dengan menjadikan amalan baik seseorang itu sebagai tauladan dan amalan buruk sebahagian lain sebagai sempadan.Dan itu sinonim dengan ajaran agama.

Hakikatnya, hati ini kagum dan sangat cemburu ketika melihat rakan-rakan meraih kejayaan sedang kami masih merangkak untuk ke situ.Ini kali kedua saya kandas dalam dunia akedemik di Al-Azhar.Saya tudingkan kegagalan itu sebahagian besar pada diri sendiri walau hakikatnya sedia maklum bagaimana senario dunia pengajian di bumi Mesir ni.Tapi saya yakin bahawa usaha adalah wasilah untuk Berjaya.Namun jika diuji dengan kegagalan jangan dipatahkan semangat usaha kerana pasti ada hikmah disebalik semua itu.

PELAJAR DAN KULIAH

Saat ini segalanya harus disusun atur kembali.Kitab-kitab kuliah harus diulangkaji awal.Kehadiran ke muhadharah doktok wajib dimaksimumkan sedaya mungkin.Hal ini yang menyedihkan apabila terkadang ada pelbagai takwilan mengenai kehadiran ke kuliah.Ada yang menganggap kehadiran itu sebagai kehendak semata-mata.Apabila ingin pergi, pergi dan apabila enggan, silakan tidak pergi.Kan tersasar jauh tanggapan itu.Yang lebih dahsyat fahaman ini berbentuk kumpulan bukan individu.Ada pula yang mengutamakan aktiviti persatuan lebih penting dari kuliah ibarat kuliah itu hanya sebagai memenuhi hidup seharian jika tiada aktiviti lain.Lantas apabila ada seruan persatuan untuk hadir sesuatu program kuliah seperti tidak wujud.
Pada saya sikap dan qarar ini perlu dikaji semula.Apakah ia bertepatan dengan tujuan sebenar kita menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini.Sekalipun program yang diadakan itu berbentuk ilmiah apatah lagi sekadar aktiviti sampingan itu semua perlu diteliti semula kerana pengajian di kuliah kemestiannya adalah mengatasi segalanya.

TALAQQI

Ketika kemestian ke kuliah telah terlaksana, pelajar sepatutnya memikirkan agenda kehidupan seharian dengan hadir ke majlis ilmu lain seperti di Masjid Al-Azhar dan Mudhaiyafah atau mana sahaja kelas pengajian yang diadakan terutama kelas yang diajar oleh masyaikh arab.Jangan asyik hadir ke kuliah yang didirikan oleh ustaz-ustaz Melayu semata.Identiti kita adalah pelajar yang belajar bahasa agung itu.
Dapat hadir ke kelas masyaikh adalah satu nikmat yang sangat tidak ternilai.Ia sangat berbeza dengan mehudharah di kuliah.Bersama masyaikh kita bakal membaca kitab secara daqiq.Adapun di kuliah kita diserapkan dengan muqarrar dan sukar melakukan munaqashah bersama pensyarah kerana pelajar yang terlalu ramai.Manakala di ruang talaqqi kita mampu bermesra dengan guru dan bertanya segala yang musykil.

MEMBACA

Manakala pembacaan pula adalah sangat perlu diutamakan.Bagi ahli ilmu dia perlu menjadikan membaca sebagai ibadah kedua setelah ibadah-ibadah wajib yang lain.Mafhum seperti ini sangat penting kerana ibadah sendirian kita itu tidak lebih untuk kepentingan diri sendiri manakala jika membaca atau belajar dengan banyak maka manfaatnya adalah untuk umat sejagat.
Pembacaan pula mestilah luas dengan ilmu yang bersepadu mengenai pengetahuan agama.Perlu tahu hajat umat Malaysia khususnya pada apa supaya pembacaan kita adalah merujuk pada yang penting dan yang lebih penting.

PERSATUAN

Ini satu lagi isu yang hangat dibincangkan di lisan-lisan mahasiswa Mesir sama ada Azhariy atau pelajar perubatan.Saya sendiri turut mengambil bahagian untuk ingin tahu fenomena ini kerana persatuan itu pada asasnya adalah sesuatu yang terpuji.Apatah lagi niat yang ikhlas demi membantu para pelajar terutama dari sudut kebajikan.


Ironisnya, persatuan di Mesir ini seolah-olal menjadi perpecahan.Wujud budaya kutuk-mengutuk, caci-mencaci dan saling menjatuhkan.
Saya secara peribadi menasihatkan semua ahli dari mana-mana persatuan untuk kita sama-sama saling bertolak ansur.Sudah dan sudah-sudahlah pada isu kepelbagaian dan berbilang persatuan ini.Anda tidak penatkah asyik bertengkar?Apa sebenarnya matlamat perjuangan anda?Berdosa sangatkah berbilang persatuan ini sehingga wujud pertelingkahan?Apakah ia sama seperti haramnya meminum arak?Di mana dalil yang qat’iy dari sudut kesabitan dan dilalahnya sehingga seumpama begitu hebat ia diperangi.Saya rasa ini semua perlu dikaji semula dengan seikhlas dan seadilnya.
Sepatutnya kita yang berada di medan intelektual ini menutup pintu perbalahan sesama Muslim.Cukuplah sekian lama kita dibelunggu dengan pemikiran jumud ini.Kita tidak akan mampu menutup pintu kepelbagaian dan berbilang dalam alam ini.Ini semua adalah sunnah kauniyyah.Lihat sahaja ciptaan Tuhan di muka bumi ini semuanya wujud dalam pelbagai versi.Hakikat kepelbagaian itu sendiri diciptakan oleh Tuhan.Mana  mungkin kita yang hamba ini mampu untuk menafikan ciptaanNya.
Oleh itu saya mengajak pada semua untuk kita hidupkan dunia persaingan yang sihat tanpa wujud kritikan-krikitikan yang menjatuhkan.Asalkan semua persaingan itu bertujuan mencari redha Allah s.w.t.
Wallahu A'lam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...