Twitter

Sabtu, 27 Mac 2010

Maqasid Syari’ah

Islam adalah sebuah agama yang sangat menitik beratkan pembentukan sebuah umat.Maka di sana terdapat beberapa perletakan yang berlandaskan Quran danSunnah sebagai panduan dan pimpinan yang menghalakan kepada pembentukan dan pembangunan umat ini.Pembentukan ini tertumpu dari setiap individu sehingga terbina sebuah masyarakat yang akhirnya berada dalam kehidupan yang aman dan harmoni dengan segala apa yang terlaksana dalam kehidupan umat ini disandarkan kepada Quran dan Sunnah.

Maka peranan pembentukan dan pengislahan umat ini tidak lain terpikul di setiap generasi pengislah teruatama pihak pemerintah atau siapa sahaja yang merasai mempunyai nilai tanggungjawab dalam menghapuskan segala kerosakan dan kebinasaan yang berlaku dalam sesebuah entri masyarakat.

Apabila terbina sebuah generasi yang benar aqidahnya, tepat syariatnya dan suci peribadinya dari segala keaiban, maka akan sampailah keadaan ini kepada maqasid(matlamat) Syari’ah Islam yang sebenar.

Maqasid yang diletakkan oleh syariat Islam terbahagi kepada lima bahagian bermula dengan penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.Kehidupan umat itu akan terpimpin apabila setiap gerak kerja berada dalam lingkungan lima penjagaan di atas.
Oleh itu kelima-lima maqasid ini tidak terbatas penilaiannya di dunia semata-mata, bahkan segalanya akan diperhitungkan di akhirat kelak.Bagi mereka yang menjadikan maqasid ini sandaran dalam setiap tingkahnya maka sudah tentu memperoleh balasan yang baik dari tuan punya alam, adapun mereka yang tidak menjadikan maqasid ini panduan, balasan yang buruk bakal menanti.

Baik, kita berganjak kepada perbincangan setiap maqasid ini secara ringkas.Mudah-mudahan ia sebagai pintu masuk untuk mengenali apa yang dimaksudkan dengan setiap maqasid ini.Bagi yang ingin mendalami sudah tentu dan tidak dapat tidak perlu bergelumang dengan ilmu syari’at Islam.

Maqasid yang pertama:Penjagaan Agama

Maqasid ini menerangkan tujuan penciptaan manusia.Seperti firman Allah yang bermaksud “tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka beribadah”.(az-zariyat-56)
Dengan maksud ayat Quran di atas dapat difahami bahawasanya setiap gerak kerja dalam kehidupan ini tidak lepas dalam pengertian ibadah.Oleh itu Allah melarang setiap hambanya melakukan kekejian walaupun sedikit kerana tidak ada di sana istilah kekejian atau kebinasaan dalam ibadah.
Dalam maqasid ini penjagaan yang dimaksudkan adalah penjagaan hamba dari terjerumus kepada menyengutukan tuhan.Kerana itu maqasid ini diletakkan sebagai yang utama dari kelima-lima maqasid lain.Tidak ada erti sesebuah kehidupan walau dengan kebaikan dan keharmonian sekiranya tidak berada dalam agama yang diredhai tuhan.Oleh itu, hargailah nikmat yang terbesar ini iaitu Islam yang kita anuti agar ia terus bersemadi sehingga akhir hayat.
Firman Allah jelas menyatakan “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa kerana menyengutukannya(syirik) dan dia mengapuni dosa selain dari syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakinya.Barang siapa yang menyengutukan Allah maka sungguh dia telah melakukan dosa yang besar”(an-nisa’-48)

Maqasid Kedua:Penjagaan Nyawa

Penjagaan ini secara umumnya termasuk penjagaan seluruh anggota badan dan kemuliaannya.Terdapat banyak nas al-Quran yang mengalang dan mengharamkan manusia dari merosakkan dirinya sendiri dan orang lain.Seperti firman Allah “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dalam kancah kebinasaan dengan tangan kamu sendiri”.Firman Allah lagi “ Dan janganlah kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah maha penyayang terhadapmu”.Dengan ayat di atas jelas dan nyata larangan yang Allah sebutkan supaya manusia tidak membunuh, merosakkan atau membinasakan dirinya.

Dalam hadis nabi ada menyebut bahawa “Sesungguhnya manusia ini adalah ciptaan tuhan, maka laknatlah bagi mereka yang merosakkan ciptaan tuhan”

Bahagian maqasid ini tidak terbatas pengertian kepada umat Islam semata bahkkan ia mencakupi seluruh umat walau bukan beragama Islam.Maka tidak boleh sewenang-wenangnya manusia itu menyakiti mana-mana jasad walaupun bukan dari agama Islam.

Maqasid ini diletakkan selepas penjagaan agama kerana berdasarkan peringkat dosa yang besar selepas syirik iaitu membunuh.Banyak hadis nabi membicarakan hukum dan ancaman bagi mereka yang membunuh samada membunuh sesama manusia dan yang lebih memilukan membunuh diri sendiri.Sabda nabi “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu maka akan diazabkan pada hari kiamat kelak”.

Begitu juga dengan ancaman dan azab bagi mereka yang yang membunuh manusia lain seperti firman Allah, “Dan barang siapa yang membunuh seorang yang beriman dengan sengaja maka balasannya adalah Neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya, Allah murka padanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang dahsyat baginya”.(an-nisa’-93)

Terdapat hadis nabi yang menyatakan darah anak Adam yang mengucapkan dua kalimah syahadah itu hanya halal pada tiga keadaan sahaja iaitu pada penzina yang sudah berkahwin(rejam), dan pembunuhan sesama manusia(qisas), dan mereka yang meniggalkan agamanya(keluar dari Islam)”

Demikian Islam sangat menitik beratkan nilai nyawa pada setiap jasad.Jika disaksikan hari ini, dunia penuh dengan pembunuhan di sana-sini akibat tidak ada keinginan melaksanakan hukum tuhan.

Maqasid ketiga:Penjagaan Akal

Akal adalah sebesar-besar nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.Kerana dengan akalla dapat memimpin seseorang itu kepada kebenaran.Namun dengan akal juga manusia terpesong dari jalan yang benar.Justeru akal punya peranan yang amat besar dalam membina sesebuah masyarakat.

Apabila berlaku kecacatan atau keaiban dalam akal atau fikiran manusia maka ia akan membawa kepada kerosakan.Oleh itu, Islam mengingatkan manusia supaya menjaga nikmat yang besar ini dari segala yang boleh merosakkannya.Seperti contoh, anasir yang membawa kepada kerosakan akal adalah meminum arak.Allah Subhanahu Wataala jelas mengingatkan manusia agar supaya menjauhkan dirinya dari minuman ini kerana ia adalah kunci kepada segala kebinasaan, firman Allah “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan perbuatan syaitan.Maka jauhilah perbuatan-perbuat itu agar kamu beruntung.Dengan minuman keras dan judi itu syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama kamu dan menghalang-halang kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat.Maka tidakkah mahu kamu berhenti?(al-maidah-90,91)

Hadis nabi pula menyebut “ Setiap yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan juga haram”, maka natijahnya arak adalah haram.Bukan arak sahaja perkara yang merosakkan akal.Banyak lagi bahan atau alat yang membawa kepada kerosakan akal seperti dadah, ganja, rokok dan seumpama dengannya.

Mungkin ada yang bertanya, bagaimana pengambilan alat-alat di atas boleh merosakkan akal sekiranya sedikit pengambilannya dan tidak menjejaskan akal.Jawapannya, seperti yang digariskan oleh para ulama bukan yang dibicarakan sedikit atau banyak pengambilannya tetapi bahan yang membawa kepada kerosakan itu tidak kira sedikit atau banyak maka hukumnya haram.Seperti arak tidakkan mabuk jika ditelan setitik tetapi apakah hukumnya berubah?

Dengan itu jelas Islam mementingkan penjagaan dan pembinaan akal ke arah pengukuhan masyarakat dan barang siapa cuba-cuba ntuk melakukan percanggahan hukum dengan perkara yang merosakkan akal maka buruk padahnya kerana apabila dia mabuk, dia lupa pada diri lantas terjerumus kepada maksiat lain yang lebih besar.

Maqasid Keempat:Penjagaan Keturunan

Maqasid ini membahaskan hubungan kekeluargaan secara amnya dan lebih khusus antara anak dan ibu bapa.
Syariat Islam mengingatkan bahawa betapa pentingnya penjagaan terhadap anak-anak.Bermula dari kelahiran sehinggalah akhir usia seorang anak itu.

Dalam penjagaan keturunan ini Islam meletakkan dua kaedah, yang pertama adalah perkahwinan.Perkahwinan adalah sebaik-baik jalan dalam menyalamatkan keturunan kerana dalam soal meramaikan umat memanglah fitrah manusia namun persoalannya adalah bagaimana proses itu berlaku samada mengikut panduan syarak atau tidak?Oleh yang demikian, Islam menganjurkan perkahwinan seperti mana sabda nabi “Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai”.

Namun ada perkara yang harus diperhatikan disebalik galakan Islam terhadap ibadah ini iaitu tidak lain mengenai kewajipan-kewajipan yang bakal diharungi oleh pasangan suami isteri.Ini penting bagi menjamin pembinaan struktur keluarga itu mengikut acuan syarak, dan ia berkekalan.Segala perkara mengenai perkahwinan wajib dipelajari sebelum ianya terpatri.

Bagi mereka yang berkemampuan dari sudut nafkah zahir dan batin, ibadah ini harus digalakkan pada mereka dan dipermudahkan urusannya sehingga tidak menyusahkan mana-mana pihak.

Kaedah kedua yang dianjurkan syarak bagi mencapai maqasid ini adalah tidak menggugurkan kandungan.Begitu juga pengharaman Islam bagi mereka yang membunuh anak kerana takutkan miskin.Ini jelas terlarang melalui firman Allah “Janganlah membunuh anak-anakmu, kamilah yang memberi rezeki kepadamu” (alan’am-151)
Ini di antara sikap dan tabiat sebahagian kaum Arab Jahiliyyah ketika zaman sebelum kedatangan cahaya Islam.Mereka juga menanam anak-anak perempuan mereka secara hidup-hidup sehingga datang firman Allah yang bermaksud “Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup itu ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh”(at-takwir,8-9).

Sejarah buruk kaum Arab jahiliyyah ini sepatutnya menjadi pengajaran dan panduan bagi kita yang hidup di akhir zaman ini.Namun masih ada golongan yang melakukan perkara terkutuk ini seperti membuang bayi-bayi di merata tempat.Wal’iyazubillah…Demikian manusia semakin hari semakin jauh dari maqasid syari’ah seperti yang diarapkan.Allhulmusta’an…

Maqasid Kelima:Penjagaan Harta

Maqasid terakhir ini tidak kurang pentingnya.Seperti yang diketahui harta adalah salah satu unsur atau asas kepada kehidupan manusia.Oleh sebab itu Islam menghalang dan memelihara harta dari dirampas, dirompak atau yang seumpama dengannya.

Maka di sana Islam meletakkan hukuman yang setimpal bagi mereka yang melakukan kezaliman terhadap pemilik harta seperti memotong tangan bagi yang mencuri.Allah menyebut dalam kitabnya “Dan bagi orang lelaki dan perempuan yang mencuri maka potonglah kedua tangan mereka sebagai balasan dan siksaan dari Allah.Sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi bijaksana”.(38-almaidah)

Demikian hukum yang dicatatkan Allah dalam kitabnya betapa Islam mengambil berat terhadap penjagaan harta.
Bagaimana pengambilan atau hasil harta juga turut disentuh oleh syarak.Tidak semua harta dating dari sumber yang halal.Terdapat di sana garis panduan yang wajib ditaati oleh mukmin sehingga tidak melanggar perintah Quran dan Sunnah.Firman Allah “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil kecuali dengan perdagangan yang berlaku atas suka sama suka di antara kamu”(29 an-nisa’)

Dalam bahagian maqasid ini juga dibincangkan bahawa setiap harta yang dimiliki oleh setiap individu bukanlah harta itu menjadi miliknya secara mutlak.Masyarakat di sekelilingnya turut mempunyai hak pada hartanya.Ini jelas apabila pemilik penggunaan harta harus pada jalan yang benar kerana dengan penggunaan yang tepat bakal memberi bantuan dari sudut putaran ekonomi sesama masyarakat sekaligus mempertingkatkan taraf hidup.

Demikian lima maqasid syariah yang dihuraikan secara ringkas bagi member pengenalan asas terhadap hala tuju dan matlamat agama ini.Menjadi kewajipan bagi setiap individu muslim mempraktikan dalam kehidupannya setiap lima penjagaan di atas bagi mencapai keredhaan tuhan dalam setiap amalannya.

Wallahu subhanahu wata’ala A’la wa A’lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...